Sunday, June 17, 2007

Mengapa Hawa selalu dikecewakan?

HAWA...
mengapa engkau menangis?
perlukah engkau menangisi di atas apa yang engkau lalui kerana ADAM?
kenapa dan mengapa????
ADAM tegakah engkau memperlakukan HAWA sedemikian?
setelah HAWA memdamba kasih ADAM...
ingin disayangi dan dikasihi.
bukan disakiti dan dilukai...
salahkah HAWA kerana bergantung harap pada ADAM?
tidakkah ADAM tahu bahawa HAWA insan yang lemah...
memerlukan bimbingan dan pimpinanmu ADAM...
dimanakah ADAM seumpama Rasulullah SAW?
sudah tiadakah insan sebegitu di akhir zaman ini??
ingin aku berkongsi... sekeping warkah dari seorang HAWA kepada insan bernama ADAM
bismillahirrahmanirrahim...
didoakan semoga anda beroleh selamat di bawah indungan payung rahmat Allah swt... Amin...
ADAM,
Maafkan aku jika coretan ini memanaskan hatimu. Sesungguhnya aku adalah HAWA, temanmu yang kau pinta semasa kau kesunyian di syurga dahulu. Aku asalnya dari tulang rusukmu yang bengkok. Jadi, tidak hairanlah jika perjalanan hidupku sentiasa inginkan bimbingan darimu. Sentiasa aku mahu terpesong dari landasan kerana aku buruan syaitan.
ADAM,
Maha Suci Allah yang mentakdirkan kaumku lebih ramai daripada bilangan kaummu diakhir zaman,inilah sebenarnya ketelitian Allah dalam urusan-Nya. Jika bilangan kaummu mengatasi bilangan kaumku, nescaya merahlah dunia kerana darah manusia, kacau-bilaulah suasana, sesama ADAM bermusuhan kerana HAWA. Buktinya sudah cukup nyata dari peristiwa Habil dan Qabil sehinggalah pada zaman cucu-cicitnya. Pun begitu, maka tidak selaraslah undang-undang Allah yang mengharuskan beristeri lebih dari satu tapi tidak lebih dari satu waktu.
ADAM,
Bukan kerana ramai isterimu yang membimbangkan aku. Tidak kerana sedikitnya yang merunsingkan aku. Tapi, aku risau, gundah gulana menyaksikan tingkah lakumu. Kau sejak dulu lagitahu bahawa aku mesti tunduk ketika menjadi isterimu. Namun terasa berat pula untuk menyatakan isi perkara sebenarnya.
ADAM,
Aku tahu bahawa kau tahu dalam al-Quran ada ayat yang menyatakan "kaum lelaki adalah penguasa kepada kaum wanita..." Kau diberi amanah untuk mendidik aku, kau diberi tanggungjawab untuk menjaga aku, mengawasi dan menjaga aku agar aku sentiasa dalam redha Tuhanmu dan Tuhanku. Tapi ADAM, nyata dan rata-rata apa yang sudah jadi pada kaumku ini? Aku dan kaumku telah menderhakaimu. Ramai yang telah menyimpang dari jalan yang telah ditetapkan. Asalnya Allah menghendaki aku tinggal tetap dirumah. Jalan-jalan, pasar-pasar dan bandar-bandar bukan tempatku. Jika terpaksa aku keluar rumah, maka seluruh tubuhku mesti dibalut dari hujung rambut hingga kehujung kaki. Tapi realiti dan hakikatnya kini, HAWA telah berbuat lebih dari apa yang patut.
ADAM,
Mengapa kau biarkan aku begini? Aku jadi ibu, aku jadi guru, "itu sudah tentu", katamu. Aku ibu dan aku guru pada anak-anakmu. Tapi sekarang, pada waktu yang sama, aku ke medan menguruskan hal negara. Aku ke hutan memikul senjata. Padahal, kau duduk-duduk sahaja. Ada di antara kaummu yang menganggur tiada bekerja. Kau perhatikan sahaja aku panjat tangga di pejabat bomba. Kainku tinggi menyinsing paha mengamankan negara. Apa kau sekarang tidak lagi seperti dulu? Apakah telah hilang kasih sucimu terhadap diriku?
ADAM,
Marahkah kau jika kukatakan "andainya HAWA yang terpesong, maka kau yang patut tanggung". Sebab apa ADAM? Ramai yang berkata, jika anak jahat, mak bapak tak pandai mendidik, jika murid bodoh, guru yang tak pandai mengajar. ADAM, kau selalu berkata, "HAWA memang degil, tak mahu dengar kata, tak mudah makan nasihat, kepala batu..." pada hematku yang dhaif ini ADAM, seharusnya kau tanya dirimu. Adakah didikanmu terhadapku sama seperti didikan Nabi SAW terhadap isteri-isterinya? Adakah ADAM melayani HAWA seperti psikologi Muhammad terhadap mereka? Apakah akhlak ADAM boleh dijadikan contoh buat kaum HAWA?
ADAM,
Kau sebenarnya imam dan aku adalah makmum. Aku adalah pengikutmu kerana kau adalah ketua. Jika kau benar, maka benarlah aku. Jika kau lalai, maka lalailah aku. Wahai ADAM, kau punya kelebihan akal manakala aku kelebihan nafsu. Akalmu sembilan, nafsumu satu. Akalku satu, nafsuku beribu! Oleh itu ADAM, pimpinlah tanganku kerana aku sering lalai dan lupa, sering tergelincir di tolak nafsu dan konco-konconya.
ADAM,
Aku suka kalau kau mengimami solatku pada setiap waktu. Akan kuaminkan bacaan doamu. Lebih aku suka kalau kau bangunkan aku untuk bertahajud bersamamu. Kau kenalkan aku pada majlis-majlis agama. Kau ajari aku untuk pandai membaca dan memahami al-Quran. Kau ajaklah aku untuk membaca Yaasin bersamamu di malam Jumaat yang penuh berkat. Kau khabarkan aku tentang fardu-fardu yang patut aku tahu. Tunjukkan aku perkara sebenar yang patut aku buat.
ADAM,
Akhirnya, ajari aku agar menjadi isterimu yang solehah. Didiklah aku supaya aku tunduk, patuh dan menghormatimu setiap waktu. Tolonglah aku ADAM agar aku tidak beku. Bantulah aku agar otakku tidak buntu. Selamatkanlah aku dari seksa neraka yang sudah tentu tiada siapa yang akan tegar menanggungnya. Nauzubillahi Minzaalik...
Demikianlah antara luahan hati seorang insan bernama HAWA...
Tidakkah ADAM merasa apa yang HAWA rasa?
Tidak rasa bersalahkah ADAM pada HAWA...
dengan membiarkan HAWA sedemikian rupa???
Ingatlah ADAM...
HAWA adalah amanah Allah untukmu...

kasihmu amanahku...

Pernikahan menyingkap tabir rahsia
Suami isteri inginkan keluarga yang bahagia
Dan mengharapkan sebuah bahtera indah
Untuk bersama belayar ke muara
Pernikahan menginsafkan kita
Perlunya iman dan taqwa meniti sabar dan redha
Bila masa senang syukuri nikmat Tuhan
Susah mendatang tempuhi dengan tabah
Isteri janji telah dipateri
Diijab kabulkan dan dirahmati
Detik pertemuan dan pernikahan
Yang dihujani air mata kasih
Demi syurga Ilahi
Suami jangan menagih setia
Umpama Hajar dan setianya Zulaikha
Terimalah seadanya yang terindah dilubuk hatimu
Isteri adalah amanah buatmu
Isteri hamparan dunia suamilah penaungnya
Isteri ladang tanaman suamilah pemagarnya
Isteri bagai kejora suami menjadi purnama
Jika suami terteguk racun
Isteri carilah penawarnya
Sungguh isteri rusuk yang rapuh
Berhati-hatilah meluruskannya
seharusnya begitulah...
pernikahan mengajar kita...
tanggungjawab suami isteri
masing-masing mengetahui tanggungjawab bersama...
bagi mewujudkan keluarga bahagia dalam suasana yang harmoni...
Bicara hati...
puteri aida

No comments: