Saturday, January 31, 2009

Persaudaraan Iman dan Islam

{عن أبى حمزة أنس بن مالك رضى الله عنه خادم رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: لا يؤمن أحدكم حتى يحب لآخيه ما يحب لنفسه}
(رواه البخاري و المسلم )

Daripada Abu Hamzah Anas bin Malik r.a pembantu Rasulullah s.a.w katanya: Berkata Rasulullah s.a.w : “Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah dia mengasihi untuk saudaranya apa yang dia kasih untuk dirinya sendiri”
(Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)

Apa yang dapat dijelaskan daripada kefahaman Hadis tersebut ialah:
1. Keteguhan, muhibbah dan saling berkasih sayang dalam masyarakat; Islam menginginkan agar manusia dapat hidup dalam keadaan penuh harmoni dan mesra serta saling sayang menyayangi. Setiap individu dalam masyarakat berusaha untuk melaksanakan kebaikan demi orang lain dan melahirkan rasa kebahagiaan yang dapat dikongsi bersama.
2. Iman yang sempurna; mempunyai asas keimanan yang teguh dan ketaatan kepada rububiyyah Allah s.w.t serta beriktiqad terhadap rukun-rukun Iman yang lain.
3. Ketinggian muslim dan kemanusiaan; di antara tanda kesempurnaan iman di dalam diri seorang muslim ialah dia tidak membataskan ‘kasih kepada kebaikan dan membenci keburukan terhadap orang lain’ hanya kepada sesame muslim bahkan juga terhadap orang bukan Islam.
4. Berlumba-lumba di dalam melakukan kebaikan adalah di antara kesempurnaan Iman; tidaklah kurangnya iman dan bukanlah daripada hasad dengki sekiranya seseorang muslim itu memohon kepada Allah agar dilimpahkan kepadanya kelebihan-kelebihan akhirat seperti yang didapati oleh orang lain dan dia berusaha untuk mendapatkannya.
5. Masyarakat yang mulia adalah hasil keimanan; ini menunjukkan Islam itu satu agama yang cukup indah yang mana ia menghendaki umatnya saling kasih mengasihi antara satu sama lain dalam membuat kebaikan dan kebajikan. Dari situlah terbinanya masyarakat yang mulia dan terhapuslah segala kejahatan dan kezaliman.
6. Masyarakat yang tidak berasaskan keimanan adalah masyarakat individualistik (keakuan) yang terkeji; tanpa iman yang sempurna, maka hilanglah dari dalam jiwa perasaan inginkan kebaikan untuk orang lain. Timbul perasaan hasad dengki dan berjiwa keakuan menjadikan masyrakat yang buruk akhlaknya.
7. Hadis ini juga memberi faedah;
· Menjinakkan hati manusia agar sentiasa berusaha untuk berubah kearah kebaikan
· Menghindarkan diri daripada hasad dengki kerana ia adalah merosakkan iman
· Iman itu bertambah dan berkurang. Keimanan bertambah dengan sebab ketaatan dan akan berkurang dengan sebab maksiat


Sama-samalah kita muhasabah diri, dimana tahap keimanan kita kepada Yang Maha Esa. Adakah semakin mantap? Atau semakin merudum? (Na’uzubillahi min zalik). Sesungguhnya celakalah seseorang itu apabila dirinya hari ini lebih teruk dari hari semalam. Semoga kita berada dalam golongan yang sentiasa bersama NYA. Indahnya hidup bersama ILAHI.
Muhasabah Sufi,
Puteri Aida

No comments: