Firman Allah ta`ala:
Yang bermaksud :
"Maha suci Allah yang telah menjalankan hambanya ( Muhammad ) pada waktu malam hari dari Masjidil Haram ( Mekah ) ke Masjidil Aqsa ( Palestin ), yang kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda ( kekuasaan dan kebesaran ) kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Amat Mendengar, lagi Amat Mengetahui.”
Memperkatakan 'israk dan mik-raj' Nabi s.a.w. bukan saja dari segi bagaimana Allah SWT memperjalankan Rasul-Nya dalam peristiwa tersebut, tetapi juga diperkatakan tentang mukjizat yang berkaitan dengan peristiwa tersebut. Mukjizat adalah sesuatu yang mencarik adat dan di luar kemampuan akal fikiran manusia untuk menilainya.
ISRAK dan Mikraj satu peristiwa paling agung yang berlaku di bulan Rejab, setahun sebelum penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w. ke Madinah. Umat Islam wajib mempercayai dengan penuh keyakinan peristiwa itu.
Peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad s.a.w. yang menurut catatan sejarah terjadi pada tanggal 27 Rejab tahun kesebelas dari masa kenabian baginda, merupakan peristiwa penting yang selalu dirayakan setiap tahun oleh seluruh umat Islam.
Dikatakan penting kerana peristiwa bersejarah tersebut merupakan sebuah peristiwa luar biasa, sebuah mukjizat dari Allah S.W.T bagi Nabi Muhammad s.a.w. yang tidak pernah dilakukan oleh rasul dan nabi sebelumnya. Hanya Nabi Muhammad s.a.w. sajalah yang diberikan anugerah dan kehormatan oleh Allah S.W.T untuk melakukannya sebagai petanda betapa tingginya penghargaan Allah S.W.T kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Di antara iktibar yang boleh diambil dari peristiwa-peristiwa yang berlaku yang dilihat sendiri oleh Rasulullah s.a.w atau yang dialami oleh baginda, bolehlah diringkaskan seperti berikut;
1. Rasulullah s.a.w diIsrakkan dan diMikrajkan pada malam tersebut ialah untuk ditemukan baginda dengan Allah s.w.t.
2. Pertemuan Rasul yang diundang khas oleh Allah s.w.t itu adalah semata-mata untuk menyampaikan perintah ibadah sembahyang lima waktu.
3. Ibadah sembahyang adalah ibadah yang paling tinggi tarafnya, tinggi nilainya, tinggi ganjarannya.
4. Ibadah sembahyang adalah sebagai kemuncak atau asas di dalam membentuk peribadi muslim. Ianya sentiasa mengamalkan dengan yang makruf dan meningalkan segala yang mungkar.
5. Di antara kesalahan-kesalahan besar yang dilakukan manusia ialah;
-melakukan perbuatan zina, walaupun ianya telah bersuami atau beristeri.
-memakan makanan dan meminum minuman yang haram.
-memakan riba dan harta anak yatim.
-mengumpat , menabur fitnah dan suka menjaga tepi kain orang lain.
-suka membuat janji tetapi tidak menunaikannya.
-suka berebut-rebut untuk memegang sesuatu jawatan dan tanggungjawab sedangkan dirinya tidak berkelayakan dan tidak berdaya melaksanakannya.
6. Rasulullah s.a.w adalah lebih tinggi kedudukan daripada rasul-rasul lain.
7. Bahayanya 3 perkara; -Yahudi. -Nasrani. -Keduniaan.
Di dalam masyarakat kita hari ini boleh dikatakan kesemua penyakit masyarakat dan kesalahan besar yang diterangkan dalam peristiwa Israk dan Mikraj itu sedang berlaku. Bahkan pada masa sekarang bukan sedikit jumlah orang Islam tidak menjalankan segala rukun-rukun Islam yang lima termasuk sembahyang, puasa, zakat, haji dan tuntutan Islam yang lain. Segala-gala ini adalah kerana iman kita makin bertambah lemah, kita terdedah kepada pengaruh-pengaruh syaitan dan mudah pula dipengaruhinya.Iman kita lemah. Kita tidak tertarik untuk menghadiri ceramah-ceramah agama, kalau kita hadir kekelas-kelas ceramah pun bukan semata-mata untuk mencari ilmu dan mencari nasihat untuk kita amalkan. Kita juga gagal untuk mempengaruhi jiran-jiran dan kawan-kawan atau kita juga gagal mewujudkan keluarga yang benar-benar Islam.
Salam Israk dan Mikraj
Aida_sufi
No comments:
Post a Comment